Entry: 'tak nak kacau'...'tak nak tegur' Sunday, May 14, 2006



Semasa suasana sibuk merayakan ulang tahun UMNO ke-60, Bekas PM Malaysia ke-4 pula sedang 'bertungkus lumus' mengeluarkan suatu lagi karya minda terbarunya dalam bentuk DVD. DVD tersebut mengkonklusikan segala hasil pengamatan beliau  sebagai 'spectator' bebas Malaysia

Rakaman DVD itu diedarkan oleh Institut Kajian Ekonomi dan Politik (Ikape).


Beliau dahulunya lebih senang dengan keadaan 'tak nak kacau' atau 'tak nak tegur' selepas beberapa minggu meletakkan jawatan. Tetapi seperti yang semua pihak sangka, Dr. M bukannya individu yang boleh bergoyang kaki. Sejak muda dan hingga kini, beliau akan terus mengkritik dan bercakap. Tetapi yang 'mengharukan' suasana pada saya, ucapan dan tegur ikhlas yang beliau buat seolah-olah ingin menyaingi kepimpinan yang ada atau dalam erti kata lain hendak orang lain sedar bahawa 'aku masih wujud, masih bijak seperti dulu'. Sebagai seorang autokrat beliau seolah-olah bersimpati dan kesal dengan kepimpinan yang ada dan inginkan gaya era pentadbirannya dahulu sebagai indikator mutlak. Pada yang mengetahui gaya kepimpinan Dr. M pasti merasa sedikit hening jika menonton DVD ini.

Menurut beliau, adalah suatu yang mengecewakan  apabila di dalam Umno sendiri tiada siapa mahu membetulkan atau mengkritik kesalahan yang berlaku di depan mata mereka.

"Lihatlah dalam Wanita Umno, mentang-mentang Rafidah Aziz adalah ketua mereka dan menteri yang bertanggungjawab terhadap AP, ahli-ahli Wanita hanya mendiamkan diri. Komen saya, bukankah Rafidah seolah-olah anak angkat anda? Bukankah Ezam Mohd Nor ditahan melalui akta OSA dahulu akibat sayangnya anda kepada Rafidah Aziz? Katanya lagi....

" Sedangkan pada zaman saya, ahli-ahli mengkritik saya, Umno menegur saya malah ada yang melawan saya, cuba menjatuhkan saya. Tetapi hari ini apabila berlaku sesuatu yang tidak betul, mereka tidak mahu bersuara. Kalau begini keadaannya, kita bukan lagi satu kuasa politik sebenar," tambahnya. Kata saya, betulkah anda terlalu mengamalkan gaya transparency yang bebas dan tulus? Berapa ramai timbalan di era anda yang terpelanting, gara-gara menegur anda. Bayaran 6 tahun penjara tanpa kes yang munasabah kepada Saudara Anwar Ibrahim adalah terlalu sukar dilupai oleh mata-mata politikus antrabangsa.

Dr. Mahathir berkata lagi, beliau tidak pernah mendiamkan diri apabila melihat penyelewengan atau kesalahan berlaku di depan matanya sebagaimana yang dilakukannya pada era allahyarham Tunku Abdul Rahman dulu.

" Ketika itu tiada siapa mahu bersuara tentang Tunku Abdul Rahman, saya bangkit menegurnya hingga akhirnya disingkir dari Umno," ujarnya.

Bekas Perdana Menteri itu menekankan, jika rakyat mahu sesuatu dilakukan dengan betul atau diperbetulkan, mereka mesti bangkit bersuara dan mengambil risiko. Bagi saya kata-kata ini penuh kelakar dan beliau bercakap seolah-olah benar 'Melayu Mudah Lupa' !! Risiko apa yang rakyat tidak pernah ambil semasa era kepimpinan anda? Penjara? ISA? Ditukar kan tempat kerja? Diugut SB?

Dr. Mahathir juga ditanya mengenai ciri-ciri 'Melayu baru' dalam majlis dialog tersebut dan beliau menjelaskan, 'Melayu baru" yang ingin dilihatnya ialah orang yang sanggup berkerja keras, bukannya mengharapkan wang mudah atau rezeki terpijak.

" Dapat payung kuning satu, satu kereta Rolls Royce, dapat istana dengan pencen. Apa lagi nak? Tak payah buat kerja! Ini bukannya Melayu baru yang kita hendak. Tujuan kita ialah mengubah sistem nilai yang selama ini tidak membantu kemajuan orang Melayu," jelas beliau dengan gaya asal usul beliau sebagai golongan marhain.

Tidak perlu saya senaraikan nepotisme dan kronisme yang berlaku era kepimpinan beliau. Dr. M adalah sorang yang tajam pengamatan dan aplikasi medianya. Media yang saya maksudkan bukan sekadar bercetak mahupun elektronik, tetapi juga media melalui permainan emosi rakyat. Permainan media ini bermula sejak kritikan pedas beliau terhadap Y.M tunku Abdul Rahman dahulu.

Nasib baik, Tunku lembut orangnya...langsung tak di ISA kan pemuda spectator bebas itu. Media juga pernah digunakan dalam keadaan terburuk sekali dalam mematikan pergerakan bukan sahaja musuh politiknya, tetapi juga politikus-politikus bebas serta pengamat politik bebas yang tidak sebulu dengannya. Sikapnya menyebabkan PM baru kita serba salah jadinya. Peluang keemasan PM untuk membuka era baru memerangi rasuah menjadi terbantut juga rasanya apabila dicelah dengan kenyataannya sebelum ini,

' saya fikir tak payah cakap banyak. kalau UMNO ikhlas hendak menghapuskan rasuah, kita perlu dedahkan siapa terlibat'. Bagi saya ini dilemma PM kita. Tak cakap, rasuah akan terus berada dalam UMNO dan inilah masanya UMNO menjadi juara isu perjuangan PKR dan pembangkang lainnya. Nak cakap, nanti orang tak suka UMNO pula. Dilemma kedua adalah disebabkan kenyataan Dr. M tadi yang seolah-olah menjadi 'speaker' kepada halatuju dan tindakan kerajaan hari ini. Bayang-bayang spectator bebas inilah yang mengganggunya. Untuk mengelakkan dilemma tersebut, ada baiknya pada pendapat saya, Dr. M kekalkan dan konsisten dengan sikap 'tak nak tegur' dan 'tak nak kacau'.

Pendita Bitara
KL


   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments